GANGGUAN air tidak berjadual berlaku di tiga daerah membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling, Kedah susulan penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan, gangguan itu bermula jam 7.45 pagi tadi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (barrage) Sungai Muda.
Menurut SADA, kejadian luar jangka itu telah mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
“Situasi ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 252,000 akaun pengguna.
“Antara kawasan yang terjejas adalah Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama lain,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, sehubungan itu bilik gerakan telah diaktifkan serta merta dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain daripada platform sedia ada iaitu Pusat Informasi SADA ditalian 1300-88-0017.
“SADA akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“SADA akan bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA,” katanya.
Katanya, SADA memahami kesukaran yang dihadapi pengguna akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan langkah proaktif sedang giat dijalankan bagi mengatasinya dengan kadar segera.
“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok SADA dan laman sesawang rasmi SADA,” katanya. – Malaysiapost