Pemimpin DAP: Kerajaan Perpaduan bukan untuk lima tahun
TIMBALAN Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo yakin Kerajaaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan kerajaan untuk tempoh lima tahun.
Katanya, jiwa besar parti politik mengenepikan persengketaan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan.
Sekali gus akan mengangkat kembali Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani seperti mana kegemilangannya sebelum ini.
“Kalau kita fokus objektf (Kerajaan Perpaduan), kita tidak hendak menang untuk lima tahun, kita nak menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya.
“Kita bukan saja kukuhkan di peringkat pemerintahan, tetapi juga di luar (ahli parti) sana.
“Saya yakin kerajaan ini bukan untuk lima tahun, tapi untuk PRU-PRU yang akan datang,” katanya ketika berucap pada sesi Bicara Rakyat sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, kerjasama semua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu penting kerana cabaran menanti dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.- Malaysiapost