PM akui tanpa Zahid, Umno sejarah pasti berubah

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan, mengiktiraf sekali gus mengakui peranan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Umno. 

Beliau berkata, tanpa peranan Presiden Umno itu dan partinya, sejarah negara yang terlakar hari ini pastinya berbeza. 

Tanpa berselindung perasaannya, Anwar memuji Zahid dan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional kerana bersama-sama membentuk sejarah negara selepas pilihan raya umum ke-15 lalu.

Anwar, yang pertama kali kembali ke Dewan Merdeka sejak dipecat Umno sebagai timbalan presidennya pada 1998, mengakui banyak “serangan” terhadap Zahid sejak dilantik sebagai salah seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri.

“Zahid kuat diserang termasuk melalui saya. Tapi saya nak beritahu, kalaulah tidak kerana komitmen saudara Zahid sebagai presiden Umno dan sokongan ahli-ahli parlimen Umno, sejarah kita pasti berubah.

“Jadi kita harus iktiraf peranan beliau dan Umno,” kata Anwar ketika berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. 

Himpunan hari ini menyaksikan kehadiran ribuan perwakilan daripada keempat-empat gabungan politik dan 19 parti yang membentuk Kerajaan Malaysia Madani.

Perdana Menteri turut teruja berhubung semangat kesemua 148 Ahli Parlimen yang membentuk Kerajaan Malaysia Madani yang mengenepikan kisah perseteruan lampau. 

Katanya, tanpa semangat saling memaafkan kerajaan perpaduan tidak akan menjadi kenyataan.

“Sebab itu saya salut anda semua,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights