Rakyat kedah dituntut ubah kerajaan negeri sama seperti Putrajaya

Rakyat kedah dituntut ubah kerajaan negeri sama seperti Putrajaya

RAKYAT Kedah perlu memastikan kerajaan negeri dikuasai oleh parti yang sama seperti Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagi memastikan segala isu yang berbangkit terutamanya masalah air terjejas di negeri itu dapat diselesaikan segera. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, rakyat Kedah dituntut melakukan perubahan agar tampuk pemerintahan negeri selari dengan Putrajaya. 

“Hari ini, ada satu hal yang berlaku di Kedah iaitu masalah air. Tapi selalunya dia macam poket di satu tempat, poket di Padang Terap, sikit di Sungai Petani, sikit di Baling.

“Tetapi hari ini di satu daerah di Kedah iaitu di Sungai Petani ataupun daerah Kuala Muda, Kedah libatkan lebih kurang 250,000 akaun.

“Kalau satu rumah ada dua orang pun, empat orang pun saya ingat dekat 1 juta penduduk yang hari ini, di Sungai Petani langsung tiada bekalan air dan sangat-sangat sedih dan menyusahkan,” katanya pada sidang media selepas selesai menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Kedah akan turut diadakan dalam masa terdekat ini. 

Katanya, konvensyen berkenaan akan membincangkan segala permasalahan dan tindakan yang bakal dilaksanakan untuk memastikan kerajaan negeri yang bakal terbentuk selepas PRN ini akan dapat membela nasib rakyat Kedah. – Malaysiapost

Komen