Sensor automatik rosak, air Sungai Muda susut mendadak

SENSOR automatik di baraj Sungai Muda mengalami kerosakan menjadi punca utama paras air di sungai berkenaan susut mendadak. 

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, kerosakan itu menyebabkan air Sungai Muda mengalir ke laut dalam kuantiti yang banyak. 

“Kerosakan sensor automatik menyebabkan salah satu pintu air ‘terbuka sendiri’ yang membawa kepada pengaliran air dalam kuantiti yang banyak terus ke laut tanpa sekatan.

“Situasi ini menyebabkan paras Sungai Muda susut mendadak dan menjejaskan muka sauk beberapa loji rawatan air (LRA Sg Petani dan Pinang Tunggal) lalu menjejaskan bekalan air ke beberapa kawasan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Dalam hantaran itu, Sanusi memaklumkan beliau telah mengadakan lawatan ke lokasi tersebut berkata, kerosakan sensor automatik itu turut menjejaskan muka sauk loji rawatan air (LRA) Sungai Petani dan Pinang Tunggal yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di wilayah tengah.

Susulan itu, Sanusi berkata, Syarikat Air Darul Aman (Sada) telah membuka pusat agihan air iaitu di Caltex Taman U, tapak pasar malam Ambangan Height, surau Taman Orked, Medan Baru Puteri Jaya, Caltex Bedong dan tapak pasar malam Pengkalan Bujang.

Terdahulu, media melaporkan, sekitar 251,800 akaun daerah Kuala Muda, Kulim, dan sebahagian Baling terjejas akibat penurunan mendadak paras air Sungai Muda. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights