PERTEMUAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, baru-baru ini adalah perkara biasa dan tidak perlu mencetuskan kontroversi.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pertemuan termasuk dua anak bekas Mursyidul Am Pas itu sudah menjadi kebiasaan Perdana Menteri menziarah sahabat lama dan keluarga ketika mengadakan program di seluruh negara.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Pas, berkata Anwar juga pernah menziarahi keluarga bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah, akhir bulan lalu.
“Sebelum ke Terengganu malam tadi, Perdana Menteri dan isteri turut menziarahi pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr Razali Nawawi yang kini dalam keadaan uzur.
“Lawatan dan ziarah kawan lama oleh Anwar sudah menjadi kebiasaan pemimpin negara,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelepasan Lori Rahmah peringkat Terengganu, di Kuala Nerus, semalam.
Salahuddin ditanya pemberita mengenai gambar pertemuan Anwar dengan Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ahli Parlimen PAS Bachok ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan kelmarin, yang mencetuskan tanda tanya.
Beliau menegaskan, pertemuan dan program ziarah Anwar dengan keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak perlu dijadikan kontroversi.
“Saya secara peribadi turut menziarahi bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan bekas Exco Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong, kelmarin.
“Walaupun antara kami berbeza (ideologi) politik, kami tidak akan pisahkan silaturahim,” katanya. – Malaysiapost