SERAMAI 160 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1444H/2023M berlepas ke Tanah Suci semalam, sebagai persediaan awal untuk menyantuni jemaah haji negara.
Mereka termasuk petugas kebajikan, perubatan, agensi luar dan wakil media.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, petugas akan berangkat secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.

Menurutnya, seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi untuk menjalankan operasi tahun ini yang terdiri daripada 340 petugas kebajikan, perubatan (296) manakala selebihnya seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil media.
“Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada Jumaat lalu dan disusuli tiga kumpulan pada 14, 18 dan 20 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saleh berkata, penerbangan pertama bagi jemaah haji negara bermula pada 21 Mei ini manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada pada 1 Ogos 2023.
Katanya, sebanyak 98 penerbangan sewa khas akan digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia, yang melibatkan penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.
Sementara itu, beliau berkata, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri.
“Ia adalah di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya. – Malaysiapost