KETUA Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat seolah-olah menggambarkan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini seperti ‘panasnya’ pihak tertentu melihat ‘gelombang’ Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini, Setiausaha Agung Bersatu itu mendakwa ada pihak yang panik dan tidak senang duduk dengan keadaan itu.

“Cuaca sekarang memang sangat panas dan risiko terkena strok haba juga tinggi.
“Itu yang menyebabkan ada pihak jadi panik. Dia jadi berpeluh semacam dan tak senang duduk,” katanya tanpa menyatakan atau merujuk mana-mana pihak dalam hantaran itu.
Beliau bagaimanapun turut memuat naik beberapa gambar sekitar Himpunan Jentera Pilihanraya PN Negeri Kedah bertempat di Dewan Serbaguna dan Padang Awam Guar Chempedak yang dihadiri puluhan ribu orang.
Hamzah berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) cuaca panas ini berterusan sehingga Ogos.
“Sampai cikgu pun terpaksa minta anak murid berkumpul dalam dewan, risau terkena bahang panas.
“Insya-Allah, lepas Ogos nanti hilanglah kemarau tu,” katanya. – Malaysiapost