‘Annuar sakit hati lihat pemimpin DAP masuk WTCKL’ – Puad
KENYATAAN Tan Sri Annuar yang mendakwa ramai ahli Umno akan meninggalkan parti itu adalah didorong dengan perasaan ‘sakit hati’, kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, berkata Annuar sakit hati apabila ramai pemimpin DAP masuk ke Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, semalam.
“Dia dakwa ramai ahli Umno akan keluar parti. Kita tidak dengar berduyun duyun ahli Umno keluar parti bila Umno menyertai Kerajaan Perpaduan. Inikan pula hanya semata mata kerana pemimpin DAP masuk Dewan Merdeka.
“Kalau ahli Umno merasakan kesucian Dewan Merdeka tercemar sudah pasti separuh dewan jadi kosong kerana peserta Umno akan keluar dewan,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad berkata, naratif Annuar mundur jauh kebelakang berbanding Umno yang komited mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
“Umno menolak mudarat lebih besar,” katanya.
Terdahulu, Annuar mendakwa Umno bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional berkata, ia kerana sokongan rakyat diberikan khususnya ketika Umno bersama PAS, bukan DAP.
“Kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke WTCKL semalam akan mendorong jutaan rakyat termasuk ahli Umno akan terus meninggalkan parti itu,” katanya. – Malaysiapost