Batal rayuan penggunaan kalimah Allah, kerajaan terus dikecam

Batal rayuan penggunaan kalimah Allah, kerajaan terus dikecam

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH)menggesa Menteri Agama mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan drastik kerajaan menarik balik rayuan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah.

Timbalan Pengerusinya Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, ini kerana perkara itu berkait rapat dengan portfolio di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Sekiranya tiada penegasan daripada pihak berautoriti, dibimbangi akan ada kelompok yang akan bertindak ekstrem dan boleh mewujudkan perasaan tidak senang, tidak selamat dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan hubungan antara kaum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, UMMAH mengikuti secara rapat tindakan kerajaan yang telah menarik balik rayuan keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah.

“Surat penarikan bertarikh 18 April 2023 adalah dirujuk. UMMAH dengan ini membantah sekeras-kerasnya tindakan ini.

“Ini bermakna bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh mana-mana bukan Islam secara bebas yang dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam khususnya generasi anak muda,” katanya.

Kamaruzaman berkata, UMMAH mendesak supaya pihak berwajib memikirkan semula tindakan itu dan meneruskan proses rayuan seperti sepatutnya.

“UMMAH menzahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan keputusan ini, ditambah lagi keputusan yang dibuat secara unilateral ini seolah-olah menjatuhkan kredibiliti pihak-pihak berkepentingan yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Islam seperti Majlis Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam negeri-negeri dan pelbagai institusi lain dalam negara ini.

“Sehubungan dengan itu, suatu Sidang Meja Bulat (RTD) akan diadakan oleh UMMAH bersama-sama NGO Islam serta pelbagai pihak lain dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Armada Bersatu mengecam sepenuhnya tindakan kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Badrul Munir berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku ketika umat Islam berdepan dengan cabaran lebih getir dengan pelbagai penggunaan teknologi moden ketika ini.

“Cabaran semakin getir buat umat Islam di Malaysia dalam menghadapi arus pemodenan dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang mampu menyeleweng pemikiran dan kefahaman secara halus tanpa sedar seandainya menyerap pengetahuan tanpa ilmu dan berguru.

“… sedang generasi mendatang bakal berhadapan dengan segenap ‘mehnah’ dan tribulasi dalam pada realiti sosial ‘ummah’ kita yang tidak dipasak dengan nilai serta kefahaman Islam yang holistik serta jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mohd Ashraf berkata, timbul persoalan 𝗮𝗱𝗮𝗸𝗮𝗵 𝗸𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗠𝗮𝗱𝗮𝗻𝗶 𝗱𝗶 𝗯𝗮𝘄𝗮𝗵 Perdana Menteri, Datuk Seri 𝗔𝗻𝘄𝗮𝗿 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝗶𝗻𝗶 𝗯𝗲𝗻𝗮𝗿-𝗯𝗲𝗻𝗮𝗿 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗴𝗮𝗹𝗮𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗮𝗴𝗲𝗻𝗱𝗮 ‘𝗣𝗹𝘂𝗿𝗮𝗹𝗶𝘀𝗺𝗲’ 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗴𝘂𝗴𝗮𝘁 𝗸𝗲𝘀𝘂𝗰𝗶𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺.

“Umat Islam seluruh Malaysia wajar mempersoal dan bangkit menentang agenda ‘pluralisme’ dan segenap perkara yang mampu membawa kepada kerancuan sebegitu kecelaruan pemikiran.

“Ia dapat menyeleweng akidah generasi kita umat Islam sebegitu mengundang permasalahan sosial yang dikhuatiri tidak dapat dibendung suatu hari nanti. Waspadalah,” katanya. – Malaysiapos

Kredit Foto : HarakahDaily

Komen