Belia perlu manfaat masa muda, rebut peluang bangunkan negara – Zahid
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati golongan belia untuk memanfaatkan masa muda dengan merebut peluang membangunkan negara dengan semangat Malaysia Madani.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Belia Negara hari ini, menyifatkan peranan golongan itu sangat penting kerana mereka adalah tonggak utama kemajuan Malaysia.
“Semoga anda semua terus menyerlah sebagai belia yang kreatif, berdaya saing dan menjadi tonggak kepada kemajuan negara.
“Manfaatkan sebaik mungkin masa muda anda semua dengan bangkit berhadapan dengan cabaran dan rebut peluang untuk membangunkan negara ini selaras dengan semangat Malaysia Madani.
“Selamat menyambut Hari Belia Negara 2023 kepada semua anak muda Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Untuk rekod, Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun bagi meraikan serta mengiktiraf sumbangan golongan itu kepada negara, selain pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia.
Sambutan Hari Belia Negara yang pertama adalah pada1964 dirasmikan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaras dengan penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sambutan Hari Belia Negara 2023 peringkat kebangsaan akan berlangsung pada 28 Mei 2023 di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost