SELEPAS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar pengislaman tiga anaknya yang ditukar oleh bekas suami secara sebelah pihak, ibu tunggal Loh Siew Hong hari ini merayu keputusan itu.
Wanita itu memfailkan notis rayuan tersebut di Mahkamah Tinggi pagi ini menerusi Tetuan Srimurugan & Co, dengan menyatakan tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan berkenaan.
Menerusi notis rayuannya, Siew Hong tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 11 Mei lepas yang menolak antaranya, permohonan bagi mendapatkan deklarasi bahawa tiga anaknya beragama Hindu.
Beliau juga merayu keputusan hakim yang menolak semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah deklarasi bahawa bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Perlis mendaftarkan anaknya sebagai mualaf, tanpa keizinan beliau.
Turut dirayu, keputusan yang menolak semakan kehakiman beliau untuk mendapatkan perintah deklarasi bagi mengisytiharkan ketiga anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan lelaki berusia 11 tahun tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.
Dalam keputusan pada 11 Mei itu, Wan Ahmad Farid memutuskan status agama tiga anak Siew Hong yang ditukar kepada agama Islam oleh bekas suaminya, masih kekal beragama Islam.
Penghakiman Wan Ahmad Farid menyatakan tiada bukti dikemukakan kepada mahkamah bahawa agama tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu, malah mereka telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.
Ketika membaca penghakimannya, Hakim Wan Ahmad Farid juga menyatakan, Siew Hong sendiri tidak pernah menafikan bahawa tiga anaknya itu masih mengamalkan ajaran Islam selepas berada dalam jagaannya.
Selain itu, Hakim itu menyatakan, tiada bukti yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu telah ditukar semula agama mereka kepada Hindu ketika berada dalam jagaan ibunya. – Malaysiapost