PENJAWAT Awam diminta melakukan beberapa anjakan membabitkan dasar kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat terutama membabitkan keperluan asas seperti bekalan air.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini penjawat awam perlu bersedia melakukan beberapa anjakan berkenaan.
Beliau berkata, antara anjakan yang perlu dilakukan adalah membabitkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kita sekarang mempersiapkan kajian semula separuh penggal RMK-12. Ini bukan bermakna kita meninggalkan atau meremehkan usaha yang lama, tetapi mesti selalu mahukan yang terbaik jadi perlu melihat apa kelemahannya.
“Contoh keadaan bekalan air di Kelantan dan Sabah, ada juga Kedah tetapi Kedah tu susah berunding sedikit.
“Kelantan dan Sabah, kalau ikut rancangan kita ia mengambil masa terlalu panjang. Termasuk dalam RMK-12 atau Belanjawan Madani,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, jika isu berkenaan tidak ditangani segera maka rakyat di kawasan yang terkesan akan terus menghadapi masalah sama.
“Kalau saya duduk di Sandakan dan mendapat bekalan air yang bercampur dengan air laut untuk diminum. Jadi itu kan masalah dan banyak daerah-daerah Sabah begitu juga (masalah air). Di Kelantan begitu juga.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal dasar kita. Jadi saya sudah berunding dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan persembahkan kepada Sultan Kelantan,” katanya.
Anwar berkata, walaupun memerlukan belanjawan yang besar dan tiada dalam rancangan sebelum ini, kerajaan persekutuan kena ambil alih tanggungjawab berkenaan.
“Yang ini kita kena ubah suai. Sebab itu semalam saya kata sukup, bon atau apa pun. Air ini masalah asas dan saya tahu penjawat-penjawat awam yang kanan ini ramai orang Kelantan
“Dulu selalu ada gurauan penjawat awam di Kuala Lumpur Umno, tetapi balik Kelantan Pas. Itu dulu tetapi sekarang lain, sekarang di Kuala Lumpur atau Kelantan pun mereka perpaduan (Kerajaan Perpaduan),” katanya.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan yang perlu melakukan anjakan yang besar yang tiada dalam rancangan.
“Kalau ada pun (rancangan) ia berperingkat. Tapi saya tidak boleh terima kenyataan itu. Ada hal-hal yang patut disegerakan.
“Macam juga jalan yang berlubang dan berlopak. Di sesetengah bandar kita sudah peruntukan lebih RM1 bilion hanya untuk tahun ini, tetapi untuk memenuhi keperluan asas ini..tak cukup.
“Ini hal-hal yang memerlukan kesediaan penjawat awam berganjak sedikit daripada perencanaan atau penggubalan dasar seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost