KERAJAAN digesa memberikan penjelasan penuh tindakan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata pihaknya berasa dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut.
Beliau berkata, tindakan kerajaan itu secara langsung akan menjejaskan maslahah dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
“Justeru, PGSM berharap kerajaan dapat meneliti semula perkara tersebut, serta meneruskan rayuan itu ke mahkamah tertinggi negara.
“Ia termasuk dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan segala aspek khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PGSM juga berharap pihak kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan.
“PGSM berpandangan tindakan itu boleh menggugat tonggak dasar pertama, kedua dan keempat iaitu kemampanan, kesejahteraan dan hormat, kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyakarat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Musa berkata, PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan yang dibuat kerajaan hendaklah mengambilkira undang-undang di setiap negeri-negeri.
“Khususnya undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah tertentu termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diperkenan oleh Sultan Negeri-negeri, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa Sultan.
“PGSM juga berharap pihak Kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Notis perberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu.
Menurut notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara tersebut dan turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah merekodkan penarikan balik tersebut. – Malaysiapost