KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam diharap akan mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan, berkata bagi tujuan itu semua pihak perlu bertekad untuk terus mempertahankan kerajaan yang ada ini.

Menurutnya, ia kerana Kerajaan Perpaduan adalah wajah Malaysia sebenar yang meraikan kepelbagaian, adil dan saksama tanpa mengira latar agama, bangsa mahupun wilayah.
“Di atas kepelbagaian ini marilah kita bina sebuah kekuatan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan watan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Mewakili pihak Sekretariat Kerajaan Perpaduan, beliau memohon maaf andai terdapat kekurangan di dalam urusan penganjuran konvensyen berkenaan.
“Sama-sama kita berdoa agar kesatuan antara kita dan kestabilan yang terbentuk hasil permuafakatan kita semua akan memperteguhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya

Fadillah berkata, dalam konvensyen itu beliau turut berucap menyampaikan Laporan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
“Ia disusuli ucapan pimpinan utama, Anthony Loke Siew Fook; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Datuk Seri Hajiji Noor; Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Openg; dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Amanat Perdana telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – Malaysiapost