Lebih 12,000 peserta hadir Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023
KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam, dihadiri lebih 12,000 peserta.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kehadiran itu berdasarkan pengiraan pihak penganjur membabitkan peserta yang hadir sejak awal pagi bagi menyertai konvensyen termasuk Konvensyen Wanita dan Pemuda Perpaduan.

Menurutnya, konvensyen yang menghimpunkan 19 parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan ini turut menyaksikan penyokong dan pendokong yang hadir memenuhi segenap ruang di WTCKL.
“Apa yang penting seluruh parti-parti yang mewakili kepelbagaian agama, kaum dan wilayah menyatakan komitmen dan iltizam untuk terus bersama bagi menjayakan agenda membantu rakyat dan memastikan kesejahteraan negara dapat diperkasakan.
“Semoga kemajmukan, keharmonian kaum, bangsa dan agama dalam kerajaan perpaduan ini akan terus subur di negara tercinta ini.
“Sekaligus memacu ekonomi negara dengan lebih pesat bagi mengembalikan kegemilangan negara sebagaimana satu ketika dahulu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau selaku Ketua Sekretariat turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan bersama menjayakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan kali pertama itu yang terlakar sebagai sejarah penting buat negara. – Malaysiapost