Mansuh subsidi pukal gula – Shahrir Samad

KERAJAAN disaran memansuhkan pemberian subsidi pukal gula pasir bagi memastikan hanya golongan sasar menikmati kemudahan itu berikutan Malaysia bukan pengeluar gula mentah.

Jelas, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tan Sri Shahrir Samad, Thailand sebagai negara pengeluar itu turut menjual produk berkenaan jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

Menurutnya, pemberian subsidi pukal juga dinikmati golongan kaya sedangkan mereka tidak memerlukan bantuan berkenaan.

“Sepatutnya gula pasir tidak disubsidikan. Negara kita bukan pun pengeluar gula mentah, yang ‘ironic’ negara pengeluar seperti Thailand pun harga runcit gula pasir lagi tinggi dari di negara kita.

“Subsidi pukal seperti ini dinikmati juga oleh yang kaya sedangkan mereka tidak perlu kepada subsidi itu.

“Kerana perbezaan ketara harga runcit di antara negara kita dengan negara-negara jiran, gula pasir kita diseludup keluar.

“Subsidi dari kerajaan kita dinikmati oleh penduduk negara-negara jiran,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, ketika menjadi Menteri KPDNHEP pada 2008, kerajaan telah memansuhkan subsidi gula pasir.

Manakala pada tahun berikutnya, beliau berkata, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan bantuan tunai kepada golongan B40 dan subsidi gula yang diberikan secara bersasar.

“Itulah permulaan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang mengumpulkan berbagai subsidi kerajaan yang dulu dibuat secara pukal ditukarkan kepada subsidi bersasar.

“Sekarang, kita mundur balik ke belakang,” katanya.

Untuk rekod, harga runcit gula pasir di Malaysia adalah yang terendah iaitu RM2.85 sekilogram berbanding negara Asean lain.

Di Vietnam harga gula pasir ialah RM6.20, Filipina (RM8.53), Kemboja (RM5.37), Myanmar (RM6.41), Indonesia (RM4.30), Singapura (RM6.32), Laos (RM4.13), Brunei (RM6.32), dan Thailand (RM3.20). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights