Molek juga berdamai – Ahmad Fadhli

PAS tidak pernah bermusuh, namun sebaliknya apa yang berlaku adalah perbezaan ideologi, kata Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian sebagai respon terhadap seruan berdamai yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika mengendurkan perbezaan itu dikira sebagai ‘berdamai’, molek juga. Cuma hendaklah dimasukkan semua sekali anggota pasukan yang berbeza pandangan itu. Bukan dipilih-pilih pihak-pihak tertentu sahaja.

“Contohnya, jika ‘berdamai’ itu ialah dengan Pas, sudah tentu perlu di ‘damaikan’ juga dengan Perikatan Nasional (PN) keseluruhannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, terma dan syarat perdamaian itu juga harus dinyatakan dan boleh dibincangkan bersama demi kebaikan rakyat.

Beliau berkata, berdamai juga tidak semestinya semua menjadi kerajaan.

“Yang penting, tunaikan hak kepada yang berhak. Bukan menafikan hak kemudian mengajak berdamai. Salam damai,” katanya.

Terdahulu, dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan, Perdana Menteri, dikatakan berharap hubungan silaturahim dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dapat dijalinkan semula.

Perkara itu dikongsikan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang memaklumkan hasrat murni itu dibuat Anwar pada pertemuan bersama dua anak bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, baru-baru ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights