Pembela desak kerajaan tarik balik batal rayuan kalimah Allah

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN Pembela Islam (Pembela) yang mewakili lebih 70 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes berkaitan kalimah Allah.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pembela, Mohd Aswanizam Alias mendesak Peguam Negara supaya menarik balik pembatalan rayuan kes kalimah Allah terbabit.

Malah, beliau menyifatkan tindakan unilateral kerajaan tanpa berunding dengan pemegang taruh utama seperti Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkepentingan Islam itu sebagai melampau.

Beliau berkata, tindakan itu juga tidak menghormati institusi lebih tinggi daripada cabang eksekutif negara dan boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam negara.

“Pembela mengambil pendirian tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani ini melampau dan biadap kerana tidak mempedulikan hak dan kesucian agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Pembela menggesa Ahli Parlimen Islam yang bermaruah dalam kerajaan dan pembangkang untuk memberi tekanan yang wajar supaya tindakan unilateral yang tidak menghormati Islam, Perlembagaan dan institusi yang bersumpah serta dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya pada semua masa, ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia susulan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu.

Menurut notis berkenaan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Mengulas lanjut, Mohd Aswanizam berkata, kegagalan Ahli Parlimen Islam untuk menggesa Perdana Menteri mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu harus dianggap sebagai kegagalan utama dalam mempertahan agama negara.

“Justeru, Pembela akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat. Perdana Menteri wajib arahkan Peguam Negara menarik balik pembatalan rayuan kes kalimah Allah ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights