Rohana Jalil makin sihat, keluar ICU
PENYANYI Rohana Jalil yang sebelum ini dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semakin menunjukkan perkembangan positif.
Penghibur yang popular dengan lagu Rayuanku itu juga sudah dipindahkan ke wad biasa, namun masih dalam pemantauan rapi oleh doktor.
Perkembangan terkini Rohana dikongsi oleh penyanyi yang juga penyampai radio, Haiza Hanafi.
Menurut Haiza, berdasarkan berita yang dikongsi keluarga penyanyi itu, Rohana sudah memberikan maklum balas yang sangat baik.
Haiza yang berkesempatan menziarahi penyanyi veteran pada awal Syawal lalu memaklumkan pada pertemuan itu mereka saling berbual banyak perkara.
“Alhamdulillah, saya gembira dan bersyukur melihat Kak Ana (Rohana) tempoh hari, Beliau mempunyai semangat yang sangat kuat untuk kembali pulih seperti biasa.
“Kak Ana bersungguh-sungguh memberitahu mahu cepat sembuh dan kembali pulang ke rumah untuk bersama keluarga,” katanya.
Haiza turut mengajak seluruh peminat untuk sama-sama mendoakan agar segala urusan rawatan Rohana dipermudahkan dan diberi kesembuhan segera.
Media sebelum ini melaporkan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd Jalil, 68, dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami kebocoran usus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan menziarahi beliau pada bulan lalu. – Malaysiapost