Sabah catat 3 kes strok haba

SITUASI semasa kes penyakit berkaitan cuaca panas di Sabah bagi tempoh bermula 15 April sehingga 12 Mei lalu, merekodkan sebanyak tiga kes strok haba.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, kes berkenaan 
membabitkan dua pelajar sekolah dan seorang wanita berusia 27 tahun.

Pengarah JKN Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata kes pertama membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April 2023.

“Kes kedua pula membabitkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei 2023.

“Manakala kes ketiga membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketiga-tiga pesakit berkenaan sudah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya.

Menurutnya, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

“Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, katanya ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

“Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan cuaca panas ini,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, JKN Sabah menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas.

Antara langkah itu, katanya ialah menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

“Memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti.

“Meminum air yang dimasak dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.

“Memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan; tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa; dan menyejukkan badan menggunakan kipas atau pendingin hawa,” katanya.

Dr Rose Nani turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights