KERAJAAN Pulau Pinang digesa menangani masalah pintu baraj di Sungai Muda dengan segera.
Gesaan itu disuarakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggambarkan masalah pintu baraj di Sungai Muda dalam keadaan usang dan tidak diselenggara.
Beliau berkata, ketinggian pintu baraj yang rendah menyebabkan pembaziran air mentah.
“Kita telah capai (ketinggian) 2m, (tetapi) pintu mereka (Pulau Pinang) kurang dari 1.55m, ada air yang akan keluar.
“Dan pintu baraj mereka sudah berusia 50 tahun dan tidak diselenggara,” katanya dipetik FMT, hari ini.
Penurunan mendadak paras Sungai Muda pada Sabtu lalu mengganggu operasi loji rawatan air sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan air yang menjejaskan lebih daripada 400,000 pengguna di Pulau Pinang dan lebih daripada 200,000 di Kedah.
Bagaimanapun Sanusi berkata, kegagalan sensor automatik di baraj Sungai Muda menyebabkan air mengalir ke laut menyebabkan paras sungai turun di bawah 1m. Sungai itu merupakan sumber utama air mentah untuk Pulau Pinang.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata, loji rawatan air utama di Sungai Muda tidak dapat menyedut air sungai kerana paras air sungai yang rendah. Dua loji rawatan air di Kedah juga terjejas tetapi menyambung operasi semula operasi dengan kapasiti 40 peratus.
Loji rawatan di Sungai Petani dan Pinang Tunggal terpaksa menghentikan operasi secara sementara selepas paras sungai menurun, Sabtu lalu.
Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkata, pihaknya sedang aktif menstabilkan operasi di kedua-dua loji tersebut dengan cara menyedut air sungai ke dalam loji rawatan bagi membolehkan loji itu meningkatkan kapasiti rawatan tanpa perlu menunggu paras sungai kembali kepada paras normal. – Malaysiapost