Shahrir puji tindakan PM berterus terang subsidi petrol kepada rakyat

BARISAN Nasional (BN) bukan sengaja tidak mahu menurunkan harga runcit petrol sehingga RM1.50 ketika zaman pemerintahannya dahulu, kata Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Veteran Umno itu berkata, berdasarkan realiti dan fakta ekonomi harga petrol tidak boleh diturunkan sesuka hati seperti yang dilaungkan pembangkang suatu ketika dahulu.

Jelasnya, semua pihak yang pernah mengkritik mengenai pemberian subsidi petrol kini telah memahami perkara itu berikutan sudah berada di dalam kerajaan memerintah.

“Yang pernah menghasut nak turun harga petrol semuanya dah jadi pemerintah. Jadi dah faham realiti ekonomi.

“Sekarang, berterus terang je dengan rakyat harga runcit petrol tak boleh turun ke RM1.50 seliter. Bukan kerana BN yang tidak erti mengurus negara tapi kerana realiti dan fakta ekonomi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru turut memuat naik gambar keratan akhbar yang memaparkan tajuk ‘Kerajaan tiada hasrat turunkan had harga siling petrol – Anwar’ yang dilaporkan pada 6 Mac lalu.

Laporan itu mendapat pujian Shahrir yang menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berterus terang kepada rakyat adalah tindakan tepat.

“Kan bagus beterus terang macam ini! Tak cuba berselindung dengan berbagai formula yang membodohkan rakyat.

“Berterus terang je dengan rakyat berapa banyak subsidi untuk petrol RON 95. Berterus terang dengan rakyat keburukan subsidi pukal seperti subsidi untuk petrol RON 95,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, meskipun Malaysia negara pengeluar minyak, namun negara pengeluar minyak terbesar di dunia pun tidak lagi memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya.

“Betul kita ada minyak mentah sendiri. Boleh guna untuk subsidi masa sekarang tapi ia membazirkan kemewahan negara untuk generasi akan datang.

“Negara lain lebih banyak sumber minyak mentah mereka tapi tetap tidak subsidikan petrol mereka,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights