Zahid cadang Konvensyen Kerajaan Perpaduan diteruskan peringkat negeri

Zahid cadang Konvensyen Kerajaan Perpaduan diteruskan peringkat negeri

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang julung kali diadakan semalam, diteruskan di peringkat negeri.

Menurutnya, ia bagi memastikan lebih ramai akar umbi daripada pelbagai parti dapat menyuarakan pandangan dan idea mereka.

“Saya lihat harus ada tindakan susulan di mana saya yakin konvensyen peringkat negeri dicadangkan supaya diadakan.

“Ia supaya akar umbi turut dapat menyertai, bukan sahaja mendengar tetapi memberi pandangan yang mewarnai kepelbagaian. (Jadi) harus kita buka kepada orang ramai untuk menyertainya,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Majlis Profesor Negara 2023, hari ini.

Semalam, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan diadakan buat julung kali menghimpunkan lima gabungan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, konvensyen berlangsung semalam dapat mewujudkan keserasian dalam kalangan pemimpin utama parti.

Jelasnya, keserasian merupakan unsur penting yang perlu ada dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Semalam jelas (keserasian) bukan setakat pemimpin di atas pentas tetapi perwakilan daripada pelbagai parti yang berada dalam dewan.

“Bukan hanya mendengar tetapi juga berinteraksi antara satu sama lain. Yang kita akan hadapi nanti ialah PRN, jadi keserasian ini penting untuk kita laksanakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen