SEBUAH feri yang membawa kira-kira 140 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas hampir lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis, malam tadi.
Feri tersebut terkandas pada jarak 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis iaitu berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis akibat kipas enjin dipercayai tersangkut tali hanyut.
Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semua penumpang bagaimanapun selamat tiba di Terminal Kuala Perlis pada jam 12.20 tengah malam tadi.
Beliau berkata, aset Maritim sudah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memantau kerja menunda yang dilakukan syarikat feri berkenaan.
“Malah, syarikat feri juga sudah menghantar sebuah bot nelayan tempatan untuk membantu menunda feri berkenaan hingga ke terminal feri.
“Semua penumpang berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri itu terkandas ketika perjalanan berbaki hanya 0.9 kilometer.
“Kipas feri berkenaan tersangkut tali yang dipercayai hanyut di perairan berkenaan menyebabkan perjalanannya tergendala dan kami telah menghantar bot penunda dan semuanya selamat,” katanya – Malaysiapost