MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab penyataan pembelaan difailkan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, selewat-lewatnya pada 30 Mei ini, lapor Berita Harian.
Penyataan pembelaan itu difailkan terhadap saman oleh Perdana Menteri yang mendakwa bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu memfitnah mengenai sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Peguam bela Anwar, Datuk SN Nair, berkata arahan itu dibuat ketika pengurusan kes berkenaan secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar, Aisyaf Falina Abdullah, pagi tadi.
“Pengurusan kes seterusnya ditetapkan di hadapan timbalan pendaftar pada 31 Mei ini untuk perkembangan status berkenaan.
“Selain saya, Anwar selaku plaintif diwakili peguam, Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin,” katanya.
Pada 3 April lalu, Awang menerusi penyataan pembelaan mempersoalkan Anwar yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan Perdana Menteri sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, didakwa amat lantang bersuara hingga menyatakan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan sebagai pemimpin yang perlu menjawab isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Pada 3 Mac lalu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.
Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.
Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman. – Malaysiapost