EMPAT sekeluarga maut manakala seorang lagi parah apabila kereta dinaiki merempuh bahagian belakang lori muatan tanah sebelum terbakar di KM310.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Kampar, Perak, awal pagi ini.
Mereka yang maut dikenali sebagai Azriyani Abdul Latif, 45, dan tiga anaknya, Muhammad Azib, 23; Siti Nur Aminah, 8, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5.
Manakala mangsa yang parah ialah seorang lagi anaknya, dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 2 pagi berhubung insiden itu.
Menurutnya, Proton Saga yang dinaiki mangsa dikatakan melanggar belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.
“Empat mangsa disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar oleh pasukan kecemasan EMRS.
“Terdapat mangsa yang maut melecur di beberapa anggota badan manakala pemandu lori selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran bonet Proton Saga berkenaan berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api. – Malaysiapost