Hadi serang DAP kerana benci Anwar jadi PM, dakwa Kit Siang

LIM Kit Siang mendakwa kebencian Presiden PAS terhadap DAP sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) itu.

Sebaliknya veteran DAP itu mendakwa Abdul Hadi dirasuk dengan kebenciannya terhadap hakikat di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi Perdana Menteri.

Katanya semasa ‘Langkah Kajang’ pada 2014, ketika mana Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail gagal untuk menjadi Menteri Besar Selangor, Abdul Hadi telah berjumpanya untuk mendapatkan sokongan DAP terhadap bantahan PAS untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum.

Menurut Kit Siang, Abdul Hadi mencadangkan supaya Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Anwar sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat ketika itu.

“Saya tidak setuju dan mengingatkan Hadi kepada keputusan Pakatan Rakyat untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Sekiranya pada masa itu saya bersetuju dengan cadangan Hadi untuk menggantikan Anwar dengan Razaleigh, atau lebih baik lagi, mencadangkan supaya Hadi menjadi calon Perdana Menteri, pastinya hari ini saya akan diangkat oleh Hadi sebagai pejuang Islam dan bukannya seorang yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam!

“Ya, saya menentang Hadi untuk menjadi Perdana Menteri dan perkembangan yang terjadi telah membuktikan bahawa pilihan saya ini tepat,” katanya menerusi tulisan terbaharu di blognya hari ini.

Kit Siang berkata, Abdul Hadi kini menjadi ancaman terbesar terhadap dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun dalam sejarah Malaysia.

Ini kerana dakwanya, Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja telah membuat fitnah terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam, malah telah memfitnah orang Melayu dan orang Islam.

Katanya, rakyat Malaysia, sama ada Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, mahukan perpaduan dalam kalangan rakya berbilang kaum, agama dan budaya, tetapi Abdul Hadi hanya mahukan polarisasi dan perbalahan.

“Kita tidak boleh biarkan pemimpin tidak bertanggungjawab seperti Hadi untuk menjunamkan Malaysia ke dalam tiga lagi kategori yang buruk ini di mana polarisasi menjadi sangat teruk bersama dengan perpecahan yang tersemat dalam hati masyarakat.

“Kerana inilah laporan polis oleh dua Ahli Parlimen, Lim Lip Eng dan Syerleena Abdul Rashid terhadap Hadi untuk kenyataan tidak bertanggungjawabnya yang dirangka untuk menggugat keamanan antara kaum dan toleransi keagamaan perlu diambil berat oleh pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights