Kalimah Allah: Kerajaan junjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor

KERAJAAN Perpaduan sentiasa menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya memberi jaminan untuk berganding bahu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci agama Islam. 

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pendirian KDN dalam menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“KDN diyakini akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Justeru, Mohd Na’im menasihatkan orang ramai agar bertenang dan berhati-hati memberi reaksi terhadap isu ini. 

“Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama,” katanya. 

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan penggunaan kalimah Allah dan empat perkataan lain masih kekal eksklusif milik umat Islam, malah tidak boleh digunakan penganut agama lain untuk ajaran mereka.

Semalam, kerajaan menarik balik rayuan keputusan pada 18 April lalu dengan memfailkan notis pemberhentian rayuan kes itu yang dimohon Jabatan Peguam Negara.

Penghakiman mahkamah tersebut yang merujuk kes itu lebih kepada perihal arahan pentadbiran berhubung rampasan bahan penerbitan semata-mata. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights