WANITA Umno mendesak Kerajaan Perpaduan mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu sensitif melibatkan kesucian agama Islam.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, isu kalimah Allah ini perlu ditangani kerajaan secara berhemah.
“Wanita Umno berpandangan, isu-isu sensitif sebegini perlu diperhalusi dan ditangani secara berhemah dan kenyataan-kenyataan yang di keluarkan perlulah dibuat secara berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan agama Islam.
“Wanita Umno mendesak Kerajaan Perpaduan tegas dalam menangani isu-isu sebegini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noraini juga menegaskan, Wanita Umno tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Semalam, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. – Malaysiapost