Kerajaan jamin bekalan air untuk domestik tidak terjejas teruk – Zahid

KERAJAAN memberi jaminan akan memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian tidak terjejas teruk sepanjang monsun barat daya yang bermula semalam hingga hujung September ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited menyelaraskan langkah-langkah pengurusan bekalan air demi kepentingan rakyat. 

Ini kerana beliau berkata, bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian sentiasa mencukupi.

“InsyaAllah, dengan komitmen dan koordinasi semua pihak, masalah bekalan air bagi penggunaan domestik untuk kegunaan rakyat ini dapat diuruskan sebaiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Dalam hantaran itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan beliau telah mengadakan lawatan ke Empangan Muda Kuala Nerang, Kedah bagi meninjau keadaan paras air di empangan berkenaan. 

“Selepas sahaja mendapat laporan terhadap keadaan paras air di Empangan Muda Kuala Nerang, Kedah pagi tadi saya mengambil keputusan untuk terus melihat situasi sebenar dan terkini di lokasi. 

“Saya telah pergi ke Kem Gubir untuk memantau sendiri operasi yang dijalankan oleh Tentera Darat Malaysia yang juga merupakan kesinambungan daripada operasi terdahulu untuk menjaga kawasan sasaran penting iaitu kawasan tadahan air di Sungai Muda, Kedah. 

“Pastinya, taburan hujan di kawasan ini juga menurun, namun dengan adanya pengurusan yang sistematik, bekalan air dapat sentiasa disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) akan melaksanakan tindakan pembenihan awan dengan segera khususnya di tujuh kawasan empangan yang dijangka paras air akan menurun dan terjejas. 

“Terdapat tujuh sumber air yang akan sangat terjejas pada musim monsun barat daya ini dengan dua daripadanya di Kedah selain masing-masing dua di Perak dan Selangor serta satu di Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights