PENGERUSI Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu, Datuk Mahfuz Omar mahu semua gerak kerja agensi itu akan memberi manfaat serta kemajuan kepada warga peladang, petani dan penternak.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan demikian ketika perjumpaan bersama pengurusan LPP pada hari pertama memulakan tugasnya semalam.
Pertemuan itu katanya, antara lain ialah mendapatkan maklumat melalui taklimat berkaitan gerak kerja LPP.
“InsyaAllah, saya juga berkongsi harapan agar akhirnya semua inisiatif dan gerak kerja bukan sahaja memberi kemajuan kepada LPP, malah lebih penting ialah kepada semua warga peladang, petani, penternak dan lain-lain yang berkaitan.
“Terima kasih kepada semua warga kerja LPP yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Datuk Azulita Salim,” kongsinya di Facebook.
Mahfuz antara lima pemimpin politik dilantik mengetuai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diumumkan Menterinya, Mohamad Sabu, minggu lalu. – Malaysiapost