Malaysia digesa seru masyarakat antarabangsa beri tekanan kepada Israel

Malaysia digesa seru masyarakat antarabangsa beri tekanan kepada Israel

Malaysia digesa seru masyarakat antarabangsa beri tekanan kepada Israel

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan segera memimpin gerakan menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberikan tekanan kepada Israel menghentikan pencerobohan dan serangan keganasan ke atas rakyat Palestin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata PN mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusian rejim Israel, dan bersoladariti bersama kerajaan sebagai suara Malaysia yang sentiasa berdiri teguh di belakang rakyat Palestin.

“Serangan ganas Israel ke atas Gaza termasuk mengebom hospital dan pelbagai kemudahan awam sehingga membunuh lebih 33 rakyat Palestin dan mencederakan 150 yang lain, memperlihatkan sikap teroris sebenar rejim zionis.

“Siri kezaliman dan kejahatan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa itu juga merupakan apartheid terhadap hak asasi rakyat Palestin serta jenayah perang yang perlu dihukum oleh seluruh masyarakat antarabangsa.

“Serangan terbabit juga jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Gaza sejak Selasa lalu.

Pertempuran terkini itu melanjutkan lagi keganasan semula yang tercetus sejak lebih setahun membabitkan kedua-dua pihak, meragut lebih 140 rakyat nyawa rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 19 warga Israel serta warga asing sejak Januari. – Malaysiapost

Komen