MP PKR persoal keputusan KDN tarik balik rayuan kes kalimah Allah

SEORANG Ahli Parlimen PKR hari ini mempersoalkan kenapa Kerajaan Persekutuan sekarang dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan kes Kalimah Allah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mempersoalkan kenapa Kes rayuan itu tidak diberi peluang diputuskan mengikut Undang Undang Perlembagaan di Mahkamah Rayuan.

Ini kerana katanya, kes itu bermula di Mahkamah Tinggi dan boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

“Kes rayuan ke Mahkamah Rayuan difailkan oleh Kerajaan Persekutuan yang terdahulu pada 12 Mac 2021.nApa rasional rayuan ini ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan sekarang?

“Adakah keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul, berniat baik, tidak menyalahi undang-undang pentadbiran?

“Tidakkah peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Agama Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?,” katanya menerusi kenyataan.

Hassan turut mempersoal adakah Majlis Raja-Raja Melayu telah dirunding dan persetujuan Raja-Raja telah diperoleh sebelum rayuan ditarik balik?

“Jawapan dan penjelasan dari Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri adalah sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang,” katanya lagi.

Terdahulu KDN dan Kerajaan Malaysia dilapor menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan oleh Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu.

Menurut notis tersebut, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights