P Pinang kesal dakwaan mengelirukan Sanusi

KERAJAAN Pulau Pinang kesal dengan sikap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang membuat kenyataan mengelirukan berhubung masalah sistem baraj di Sungai Muda. 

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, tindakan Sanusi itu amat dikesali kerana meletakkan kesalahan kepada Pulau Pinang tanpa fakta yang tepat. 

Beliau berkata, pada 14 Mei, pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah menghantar surat kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) memaklumkan pintu baraj terbuka sendiri, mengakibatkan pengaliran air ke laut tanpa sekatan.

“Pembukaan atau penutupan pintu baraj di Sungai Muda itu dikendalikan melalui Sistem Scada secara automatik tetapi pada 13 Mei jam 8.30 malam ia ‘terbuka’ sendiri tanpa amaran selama 11 jam.

“Keesokan harinya pada jam 7.30 malam PLSM mendapati paras air Sungai Muda turun ke paras 0.67m sebelum bertindak menutup semula pintu baraj berkenan secara manual di bahagian Kedah.

“Pihak kerajaan negeri sekali lagi ingin menyatakan bahawa surat itu dihantar kepada LSANK dan bukan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau mana-mana pihak di Pulau Pinang,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini. 

Chow berkata, terdapat dua baraj dibina merentangi Sungai Muda iaitu yang pertama setinggi 1.8m dibina pada 1973 dalam kawasan Pulau Pinang, manakala satu lagi baraj setinggi 2.1m dibina di sebelah Kedah, pada 2014.

Semalam, Sanusi menggesa kerajaan Pulau Pinang menangani segera apa yang digambarkan sebagai masalah pintu baraj di Sungai Muda yang rendah, usang, dan tidak diselenggara.

Beliau berkata, ketinggian pintu baraj yang rendah menyebabkan pembaziran air mentah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights