SEORANG pengasuh taska direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mendera dua bayi di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Johor Bahru.
Perintah reman terhadap suspek berusia 21 tahun itu dikeluarkan Majistret R Salini di Mahkamah Majisteret Johor Bahru, pagi tadi.
Suspek yang juga warga tempatan itu dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna jingga dan ditahan reman sehingga Jumaat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menahan suspek itu kira-kira jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.
“Mangsa adalah kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah beroperasi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Semalam, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari dua bayi.
Tindakan wanita itu mengundang kemarahan netizen selepas dilihat menepuk kepala dan meniup muka bayi yang sedang menangis. – Malaysiapost
Kredit foto: Sinar Harian