Penggunaan kalimah Allah hanya terpakai di Sarawak – PM
KEBENARAN penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama Kristian hanya terpakai di Sarawak dan bukan di negeri-negeri lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu khusus dalam kes di Sarawak sahaja.
“Ini khusus dalam kes Sarawak, kita kena faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan negeri-negeri. Ia tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor. Ini hanya khusus dalam kes di Sarawak yang sudah kita kalah awal.
“Kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri itu sebegitu rupa, kita kena faham dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga, Tanjung Minyak, Melaka, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes wanita itu yang bernama Jill Ireland itu.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.
KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama. – Malaysiapost