PM minta diberi sedikit masa naikkan elaun guru

WARGA pendidik diminta memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk menaikkan elaun guru yang sememangnya komited mahu memperkasakan sektor pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan keutamaannya, namun ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya pendapatan dan hasil negara bertambah.

“Antara keutamaan saya ialah menaikkan elaun guru-guru dan perkhidmatan awam.
Iaitu hasil yang diperolehi dipulangkan kepada rakyat.

“Tetapi janganlah minta sekarang, beri sedikit lagi masa dan kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di Melaka, hari ini.

Mengulas mengenai isu kedaifan sekolah, Perdana Menteri berkata, pihaknya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi keutamaan bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki dan pembangunan semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

Menurutnya, beliau tidak mahu sebarang kerenah pentadbiran menjadi punca kelewatan pembaikan, khususnya apabila sektor itu menerima peruntukan Belanjawan Madani 2023 terbesar iaitu sebanyak RM55.2 bilion.

“Saya telah memberikan arahan kepada Kementerian Kewangan dan KPM untuk menjalankan mengikut fast track, saya tidak mahu ada sebarang kerenah pentadbiran yang menganggu pelaksanaan segera sekolah-sekolah daif.

“Bagaimana boleh kita mengeyakan sekolah-sekolah dalam keadaan negara memacu pertumbuhan membanggakan tetapi di sekolah kalau ada lapan tandas, empat rosak,” katanya. 

Terdahulu, pada majlis tersebut Perdana Menteri turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 kepada Felo Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Kebangsaan, Datuk Mazlan Mohamad dan Tokoh Guru Kebangsaan 2023 dinobatkan kepada bekas Pengetua Cemerlang Gred Khas C di Maktab Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights