PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng seakan terkejut bagaimana Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican boleh tewas di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut Guan Eng, ini kerana melihat sambutan yang cukup luar biasa di Kepala Batas pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Reezal yang juga Ketua Jabatan Pilihan Raya Umno dan Pengerusi MATRADE.
“Sambutan begitu luar biasa daripada penduduk tempatan sehingga saya tanya pada saudara Reezal, “Macam mana boleh kalah ini?” Beliau hanya senyum beribu isi sahaja,” kata Guan Eng menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Reezal Merican tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad yang memperoleh majoriti 2,867 undi.
Siti Mastura mendapat 28,604 undi manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi yang turut mengenepikan saingan calon MUDA, Muhammad Danial Abd Majeed (14,214 undi) dan calon Pejuang, Hamidi Abu Hassan dengan 747 undi.
Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan model kerajaan baharu.
Katanya walaupun terdapat beberapa cabaran tetapi juga mempunyai peluang baharu.
“Musuh politik dahulu kini sudah menjadi kawan, demi masa depan Malaysia dan kesejahteraan rakyat, kita perlu bekerjasama mencari jalan keluar.
“Saya percaya dengan semangat sentiasa mendahulukan rakyat, kerajaan perpaduan akan dapat memerintah dengan stabil untuk satu penggal dan mereformasi Malaysia dengan baik, membawa negara ke landasan betul, perangi rasuah dan menuju kejayaan.
“Dengan semangat kerjasama di peringkat persekutuan, saya juga berharap PH Pulau Pinang akan bekerjasama erat dengan rakan-rakan kita untuk pertahankan Pulau Pinang daripada bibit ekstremisme yang dibawa oleh PN,” katanya. – Malaysiapost