LIMA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menculik dan mengurung seorang jurujual dengan tujuan untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM1.12 juta.
Kelima-lima tertuduh iaitu Suhaimi Mat Zin, 41; Wong Guo Song, 33; Yong Zi Hui, 25; Zulkarnain Ramli, 46, dan Muhammad Azam Hatan, didakwa bersama tertuduh yang masih bebas telah menahan, abduksi (menculik) dan mengurung lelaki itu dengan tujuan mendapatkan wang tebusan RM1,125,550 di Bandar Sri Petaling, Brickfields pada jam 10.30 malam, 29 April lepas.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, Mahkamah Majistret tidak mengambil pengakuan semua tertuduh kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, S Balakrishnan bertindak bagi pihak pendakwaan, manakala empat tertuduh kecuali Muhammad Azam diwakili peguam, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Izwan Arif Ibrahim, Nasir Nordin dan Azinuddin Karim.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost