KABINET akan mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama kerajaan akan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.
Menurutnya, perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya isu berkenaan dapat diselesaikan secara menyeluruh dan bersepadu.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.
“Dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023, menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama bukan Islam.
Menurutnya, ia selaras keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada
tahun 2014, serta fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor berkaitan perkara yang sama.
“Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum penjelasan Kementerian Dalam Negeri dan perakuan berhubung enakmen negeri-negeri yang terkait dengan perkara ini.
“Ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri berhubung penggunaan kalimah Allah,” katanya.
Amirudin menegaskan kerajaan Selangor akan melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan. – Malaysiapost