DAP pernah minta selesai kes kalimah Allah luar mahkamah, dakwa Muhyiddin

DAP pernah minta selesai kes kalimah Allah luar mahkamah, dakwa Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa menteri daripada DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Dakwanya, permintaan itu dibuat ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

“Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.

“Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada 2021, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes perlu dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, keputusan untuk merayu adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Perlu diingat bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Maka, titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kesal dengan keputusan kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) kerana menarik balik rayuan kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam itu.

Beliau berkata, kes berkenaan wajar diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai maka wajar bagi kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

“Ini demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai,” katanya. – Malaysiapost

Komen