Hadiah umrah untuk Cikgu Fizah…

TANGGAL 16 Mei adalah sambutan Hari Guru yang kebiasaanya akan disambut meriah di peringkat sekolah sebagai meraikan jasa warga pendidik, setiap tahun.

Kebiasaannya tarikh ini, pelajar dan murid akan menyediakan hadiah untuk diberikan kepada guru di sekolah masing-masing berserta program sambutan yang sudah disusun atur pihak sekolah.

Bagi meraikan sambutan Hari Guru tahun ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh turut tidak melepaskan peluang memberi kejutan buat guru sekolah rendahnya, termasuk ‘Cikgu Fizah’ iaitu guru yang mengajar beliau sejak di tahun satu.

Menerusi hantaran video Facebook, Dr Akmal menyantuni guru di sekolah rendahnya hari ini, dengan memberikan coklat selain mengumumkan untuk menaja pakej menunaikan umrah kepada ‘Cikgu Fizah’.

“Hadiah umrah untuk Cikgu Fizah. Cikgu yang mengajar saya sejak dari sekolah rendah, yang banyak mengajar saya erti menjadi seorang manusia.

“Terima kasih atas tamparan, cubitan cikgu dulu yang menjadikan siapa diri saya hari ini. Tanpa cikgu siapa lah diri saya,” tulisnya.

‘Hadiah’ bermakna Dr Muhamad Akmal itu mengundang sebak kepada guru berkenaan yang dilihat turut mengalirkan air mata kerana sebak.

“Cikgu Fizah ini istimewa kerana beliau guru saya daripada saya Darjah Satu. Saya nak hantar cikgu saya pergi Umrah bulan 12 (Disember) ini,” katanya dalam video berkenaan.

Menurut Dr Muhamad Akmal, ‘Cikgu Fizah’ akan berpencen pada 1 Disember ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights