Henti main isu kalimah Allah – KDN

Henti main isu kalimah Allah – KDN

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menggesa semua pihak berhenti memainkan isu kalimah Allah dengan tujuan untuk menyemarakkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama.

Menurutnya, isu yang heboh diperkatakan membabitkan kes Jill Ireland adalah percanggahan arahan pentadbiran, bukan berkaitan isu kalimah Allah.

“Percanggahan itu melibatkan keputusan yang dibuat oleh Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan oleh KDN pada 5 Disember 1986.

“Saya minta semua pihak yang cuba menjadikan isu untuk menyemarakkan sentimen kaum dan agama agar menghentikannya segera,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini, KDN mengesahkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Menurutnya, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan penggunaan kalimah Allah. – Malaysiapost

Komen