ISTERI pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada berkongsi luahan hati mengenai dugaan yang menimpa hidupnya termasuk keguguran anak ketiganya.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya, Shuhada memohon maaf kepada anak yang diberi nama Uwais kerana tidak sempat dilahirkan ke dunia.
“Doktor cakap baby dah besar dah boleh bagi nama. Jadi saya pun dah borak dengan anak-anak… Saya nak panggil dia Uwais.
“Saya doa Allah redakan hati dengan takdir saya. Redakan hati anak-anak saya. Humairah kata Uwais tunggu kita bertiga dekat syurgakan ibu.
“Ibu minta maaf sebab ibu tak berjaya nak lahirkan Uwais ke dunia yang agak kejam ini,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Dalam hantaran yang sama, Shuhada juga menjelaskan dia bukan mahu mencari salah atau membuka aib, sebaliknya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup baru bersama anak-anak.
“Biar Allah yang nilai, biar Allah yang tentukan. Shu dah lama reda apa yang berlaku. Bukan nak cari salah sesiapa dan bukan juga membuka aib sesiapa.
“Moga Allah membalas apa sahaja kejahatan dengan segala kebaikan. Semoga kekuatan sentiasa di sisi Shu, Umar dan Humairah untuk teruskan hidup baru dengan insan insan yang baik selepas ini,” tulisnya.
Sebelum ini, pelakon Hafidz Roshdi membuat dua kali laporan polis terhadap Nurul Shuhada atas dakwaan isterinya sengaja menggugurkan anak ketiga mereka.
Pelakon itu juga memfailkan dua hadanah penuh dan sementara terhadap dua anaknya Humairah, 6, dan Umar, 2, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh difailkan Hafidz selaku plaintif pada 18 April lalu dengan menamakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebagai defendan, manakala hadanah sementara atau interim pula difailkan, Jumaat lalu. – Malaysiapost