Kalimah Allah: Sebelum ini kenapa menteri Umno tak bangkit?
SEORANG pemimpin Bersatu hari ini menyindir Datuk Seri Azalina Othman Said susulan kenyataannya untuk membangkitkan isu kalimah Allah dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin sebaliknya mempersoal kenapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu tidak membangkitkannya dalam mesyuarat sebelum ini.
“Pada 15 Mei 2023, Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) kerajaan PH-BN berkata Kabinet sudah maklum mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berkaitan penggunaan kalimah Allah.
“Semalam 16 Mei 2023, Menteri di JPM (Azalina) kata menteri Umno akan membangkitkan isu kalimah Allah di Kabinet esok (hari ini).
“Ait, masa menteri KDN bawa makluman melalui Nota Jemaah Menteri sebelum ni, takkan menteri Umno tak bangkit? Apakah ini yang dikata sudah terhantuk baru nak tengadah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, parti itu menuntut isu penggunaan kalimah Allah dikendali dengan penuh cermat kerana ia melibatkan sensitiviti serta kebebasan beragama dan keharmonian rakyat berbilang kaum.
Azalina berkata penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu itu secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.
“Penyelesaian menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, menteri-menteri Umno akan membangkitkan perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. – Malaysiapost