‘Kejayaan’ di Sukan SEA akan terbawa-bawa ke PRN, kata pemimpin PAS

SEORANG pemimpin PAS hari ini menyindir kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) susulan pencapaian terburuk kontinjen negara dalam temasya Sukan SEA kali ini.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Dusuki Abd Rani secara sinis mengucapkan ‘tahniah’ kepada menteri dan timbalan menteri Belia dan Sukan (KBS).

“Tahniah kepada menteri dan timbalan menteri Belia dan Sukan dan seluruh para penyokong kerajaan Madani, kejayaan pencapaian ini akan dikenang sebagai ingatan yang terbawa-bawa sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Simpan kenangan ini dalam lipatan sejarah agar diingati dan diambil iktibar oleh generasi pewaris pada masa akan datang nanti.

“Cantik dan terbaiklah kerajaan ini bagi kalian,” sindir Ahmad Dasuki menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada temasya yang berakhir semalam, kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah Sukan SEA dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas.

Malah pencapaian kali ini  lebih teruk daripada Sukan SEA di Vietnam tahun lalu.

Bagi temasya kali ini, kontinjen negara hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa untuk menjadi penghuni tangga ketujuh keseluruhan daripada 11 negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights