Kerajaan kena ambil langkah berani pulihkan ekonomi

KERAJAAN digesa agar bertindak lebih berani dalam memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini dan mengakibatkan ramai rakyat terkesan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata proses memulihkan ekonomi negara adalah penting dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan sebagainya.

Menurutnya, namun malangnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat dilihat tidak prihatin tentang masalah ekonomi.

“Walaupun keadaan pandemik Covid-19 sudah selesai, namun pasca pandemik masih banyak isu-isu yang perlu ditangani dengan berani oleh kerajaan.

“Kalau tidak buat begitu esok negara lain dah pulih awal, Malaysia tertinggal di belakang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia di ibu negara hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan bekas Perdana Menteri, berkata rakyat yang tergolong dalam kumpulan B40 juga sudah meningkat.

“Mereka berdepan dengan masalah kos sara hidup, kenaikan harga barang, inflasi yang sehingga hari ini saya tak pernah dengar satu pun perkara yang agak memberikan harapan kepada rakyat di bawah yang menanggung beban hidup.

“Semua sedia tahu tentang isu kenaikan harga barang, bantuan juga tidak pernah sampai. Ini antara perkara-perkara yang Institut Masa Depan Malaysia memberikan tumpuan dalam kajian dasarnya,” katanya.

Ditanya apa yang beliau akan lakukan untuk memulihkan ekonomi negara jika masih menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin secara sinis mendakwa Anwar lebih bijak dan mempunyai barisan kabinet serta pakar yang banyak menabur janji dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

“Kita nak tahu apa yang mereka (kerajaan) nak buat..bukan apa yang saya akan buat (jika masih memerintah). Saya buat waktu zaman saya mentadbir negara itu yang saya dah buat.

“Saya tak nak jawab apa yang mereka patut buat. Kita sedar tentang kesan yang negara hadapi bila berhadapan dengan pandemik. Kalau saya bagi jawapan..nanti dia ‘curi’ jawapan saya dia nak buat.

Menjelaskan mengenainya, Muhyiddin berkata maksud beliau adalah kerajaan ada pasukan dan perlu tunaikan apa yang mereka janjikan sebelum ini kerana rakyat berharap kerajaan yang mereka pilih melakukan sesuatu.

“Janji nak turun harga minyak..janji nak kawal harga barang, jadi buat yang itu sahaja. Tetapi sampai hari ini..saya tak perlu nak jawab, warga media sendiri sebagai rakyat biasa tahu apa yang telah dilakukan (kerajaan) sekarang.

“Jangan tanya saya (nak buat apa) kalau saya jadi kerajaan, nanti dia (Anwar) kata saya nak tumbangkan kerajaan pula, dia putar belit kenyataan saya macam-macam nanti.

“Kabinet kena ambil langkah berani..tetapi saya tak nak ajarlah kerana Anwar ini bijaksana orang yang pandai jadi dia patut tahu apa yang perlu dia buat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights