Kerajaan Selangor beri insentif Haji Muassasah
SEBAGAI langkah memudahkan para Jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Incorporated) atau MBI akan menawarkan Insentif Haji Muassasah 1444H / 2023M.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata insentif itu diberikan kepada 3,000 bakal jemaah yang memerlukan, khususnya kumpulan B40 dan M40 di Negeri Selangor Darul Ehsan.
Beliau berkata, insentif berkenaan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.653 juta dan permohonannya akan dibuka bermula Jumaat, 19 Mei 2023 hingga 25 Ogos 2023.
“Setiap jemaah yang memohon dan menepati syarat kelayakan akan berikan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen, serta pelembap bibir.
“Bagi memudahkan proses pendaftaran, urusan permohonan akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri masing-masing dan akan diselaraskan oleh MBI selaku pelaksana program,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jemaah yang layak memohon semestinya berwarganegara Malaysia dan menyampaikan salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang mengandungi kenyataan bayaran haji serta salinan jadual penerbangan.
“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing melalui pautan https://bit.ly/3ByFSxm
“Saya mengharapkan bahawa usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” katanya. – Malaysiapost