MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menetapkan 31 Mei ini untuk pengurusan kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Difahamkan, Perdana Menteri sudah memfailkan kehadiran terhadap tuntutan saman fitnah RM150 juta terhadapnya pada 16 Mei lalu.
Ia sekali gus mengesahkan Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bersedia menjawab tuntutan saman Dr Mahathir terhadapnya.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Anwar di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.
Pada 3 Mei, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, mendakwa pada 18 Mac lalu, Anwar memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.
Menurut Dr Mahathir, antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu berpangkat tinggi.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta, dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan fitnah.
Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan semua kenyataan di media sosial atau media elektronik, selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai. – Malaysiapost